PERCUTIAN 2008

D' Utama Club merancang satu projek percutian bagi tahun 2008.

Sehubungan itu admi akan keluarkan beberapa lokasi yang menarik untuk dipilih oleh semua. Harap mendapat sambutan. T.Q

Kedah Sepintas Lalu


Lokasi : Negeri Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan negara Thailand. Pulau Langkawi, satu kawasan tarikan pelancong yang terkenal, adalah juga sebahagian daripada negeri Kedah.


Daerah :

Sebelas (11) daerah terdiri daripada Baling, Bandar Baharu, Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, Pulau Langkawi, Padang Terap, Pendang, Sik, Yan dan daerah kecil Pokok Sena.


Ibu Negeri : Alor Setar


Iklim : Khatulistiwa – panas dan lembab sepanjang tahun. Suhu di antara 210C hingga 310C. Hujan tahunan di antara 2,000 mm – 2,500 mm, dengan hujan pada kebiasaannya di waktu tengahari.


Budaya : Kepelbagaian dan kosmopolitan budayanya melambangkan masyarakat Malaysia yang majmuk. Ia merangkumi elemen-elemen budaya Melayu, Cina, India dan Thai meliputi tarian, muzik, senibina, tulisan, kraftangan dan lain-lain.


Makanan : Seperti kebiasaannya di Malaysia, Kedah adalah idaman bagi penggemar makanan, dengan makanan Melayu, Cina, India, Thai dan Barat yang boleh didapati di dalam beraneka selera.


Reputasi : Kedah adalah negeri asal dua Perdana Menteri Malaysia; Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4, dan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Kedah juga dikenali sebagai ‘Jelapang Padi Malaysia’ memandangkan ia adalah negeri pengeluar beras terbesar di Malaysia.


Pelabuhan Utama : Pelabuhan Pulau Pinang (Negeri Pulau Pinang), Kuala Kedah dan Telok Ewa Langkawi.
Info Pelancongan -Tempat-tempat Pelancongan :
Bangunan-Bangunan Besejarah dan Tempat Menarik

Muzium Negeri
Muzium Negeri merupakan satu contoh lambang senibina yang memaparkan adunan kesenian Melayu dan kesenian pengaruh Siam. Sebelum ini ia di panggil dengan nama Istana Kota Setar, tempat semayam rasmi Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Shah II yang dibina pada tahun 1736. Ia juga terkenal dengan nama Istana Pelamin semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddi Mukarram Shah kerana menjadi persada upacara perkahwinan di raja untuk beberapa kali. Kini, ia memuatkan pelbagai khazanah Kesultanan Kedah dan pusaka kebudayaan.
Balai BesarTerletak di tengah-tengah Medan Budaya ialah sebuah Balai Besar yang cukup indah. Ia merupakan gabungan keindahan senibina dan kehalusan kerja-kerja seni.Ia dibina pada tahun 1898 oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Shah II (1710 – 1760) dan telah digunakan bagi mengendalikan upacara rasmi Raja-Raja dan kerajaan. Dibina menggunakan kayu Cengal Emas, ia melambangkan kebanggaan senibina ukiran berwarna keemasan dan cermin dari Cina pada bumbungnya. Sejumlah 42 tiang utamanya terdiri dari kayu keras yang menjadi tonggak utama bangunan tersebut.

Balai Nobat
Balai Nobat atau Pentas DiRaja dibina pada tahun 1907 semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Pada hari ini ia merupakan tempat simpanan alat-alat muzik Nobat DiRaja yang hanya dimainkan pada upacara-upacara DiRaja seperti hari pertabalan, perkahwinan dan persemadian DiRaja.Alat muzik yang terdiri dari tiga rebana besar, dua rebana kecil, satu gong dan satu serunai ini mampu menghasilkan satu gabungan bunyi yang mengasyikkan yang dikenali sebagai muzik nobat, satu bentuk lagu kebudayaan negeri Kedah.

Balai Seni
Terletak di tengah-tengah Medan Budaya, senibina bangunan ini banyak dipengaruhi oleh senibina Roman sama dengan bangunan yang boleh ditemui di "Temple of Fortune Rivals". Ia dibina pada tahun 1912 dan telah berperanan sebagai Mahkamah Tinggi yang kemudiannya menjadi pejabat kepada beberapa jabatan kerajaan negeri. Pada 25 Julai 1983, bangunan ini telah diisytiharkan sebagai Balai Seni Negeri Kedah Darul Aman oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Kini, ia merupakan nadi kepada semua aktiviti-aktiviti kebudayaan dan seni dalam Negeri dan ia diurus oleh Lembaga Muzium Negeri.
Masjid Negeri
Juga dikenali sebagai Masjid Zahir, ia merupakan satu lagi mercu tanda senibina dan antara masjid tercantik di Malaysia. Terletak di tengah-tengah bandar Alor Setar, ia merupakan masjid rasmi negeri Kedah serta menjadi tempat sembahyang utama bagi orang-orang Islam. Ia menandakan kemuncak lambang senibina asli rakyat Moor dan mempunyai lima kubah yang mencerminkan keunggulan Lima Rukun Islam.Pembinaan masjid ini adalah hasil ilham AlMarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin II manakala pembinaannya bermula pada Mac 1912.

Tempat Lahir YAB Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad
Satu lagi tempat menarik yang semakin terkenal dan digemari ialah rumah pusaka di mana Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dilahirkan. Ia terletak di :-No. 18, Lorong Kilang Ais,Tepi Jalan Pegawai,Seberang Perak,Alor Setar
Di dalamnya terdapat beberapa perabot dan perkakasan asal kepunyaan keluarga Perdana Menteri. Terdapat juga didalamnya khazanah yang menyingkap sejarah hidup YAB Dato Seri Dr. Mahathir dari zaman kecil hingga perkahwinannya.Masa lawatan adalah seperti berikut :-Sabtu – Khamis : 9.00 pagi. – 6.00 petang.Jumaat : 9.00 pagi. – 12.00 tgh / 3.00 – 6.00 petang

Muzium Arkeologi Lembah Bujang
Terletak di Bukit Batu Pahat, Merbok; Muzium Arkeologi Lembah Bujang terletak di tengah-tengah pusat penempatan dan pembangunan tamadun yang terawal di Semenanjung Tanah Melayu yang merupakan lanjutan daripada kekuatan "Empayar Sri Vijaya". Bangunan ini merupakan tempat simpanan khazanah dan pusaka bersejarah yang menjadi bukti bahawa Kedah merupaka salah satu negeri tertua dalam rantau ini. Ia dibina pada tahun 1978. Muzium ini dibuka kepada orang ramai pada hari Isnin hingga Sabtu dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Wayang Kulit Seri Asun
Wayang Kulit Seri Asun diasaskan oleh seorang ketua kampung bernama Mohamad Noh bin Hj. Mahmud atau lebih dikenali sebagai Pak Noh. Wayang kulit merupakan satu pertunjukan seni patung tradisional. Pertunjukan ini dipentaskan dibelakang satu tirai putih. Nama Wayang Kulit Seri Asun diambil dari nama sebuah pekan iaitui Asun, yang terletak berdekatan dengan Kampung Kunluang. Kini, ia menjadi sebutan ramai di negeri ini dan sering mendapat tempat untuk mengadakan persembahan kebudayaan yang diminati oleh golongan tua dan muda termasuk pelancong.

Gunung Jerai
Salah satu tempat menarik semulajadi di Kedah ialah Gunung Jerai yang terletak di antara sempadan daerah Kuala Muda dan Yan. Ketinggian Gunung Jerai ialah 1,217 meter dan berdiri megah 1,200 meter di atas paras laut. Kemuncak gunung ini memaparkan satu pemandangan yang indah lagi mengkagumkan.Sebuah batu besar berbentuk sebuah kapal wujud di puncak gunung ini. Penduduk tempatan disitu mengelarnya "Batu Kapal". Menurut lagenda, kapal tersebut adalah kepunyaan Maharaja Merong Mahawangsa yang telah disumpah oleh Sang Kelembai ketika Maharaja tersebut cuba melabuhkan kapalnya diPulau Serai, nama asal bagi Gunung Jerai.Bagi pencinta alam semulajadi, tempat ini merupakan satu kawasan yang paling sesuai untuk jungle tracking serta menikmati kehijauan dan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan tropika. Kesejukan semulajadi air terjun merupakan satu pengalaman baru yang sukar dilupakan terutamanya bagi yang datang dari bandar yang ingin mencari suasana menyegarkan, jauh daripada suasana kehidupan kota dan mendekatkan diri pada alam semulajadi.Terdapat beberapa kemudahan-kemudahan asas disediakan kepada pelawat-pelawat yang datang seperti telefon, tandas awam, bilik sembahyang, dan rumah rehat bagi tujuan bermalam sebagai alternatif kepada perkhemahan.Mereka yang bercuti juga digalakkan melawat Taman Bunga Iklim. Di sini terdapat pelbagai bunga seperti bunga mawar, tulip, kiambang, teratai dan banyak lagi bunga-bunga lain yang cantik.

Tempat Penginapan
Gunung Jerai ResortLebuhraya Gurun,08300 Gurun,Kedah Darul AmanTel : 04-4223345, 4223356Faks : 04-7329788

Tasik Pedu
Tasik Pedu terletak di daerah Padang Terap, lebih kurang 90 km dari Alor Setar. Anda boleh sampai ke tempat ini melalui jalan darat.Tasik Pedu merupakan destinasi percutian yang baru bagi negeri Kedah. Terdapat beberapa aktiviti air disini seperti memancing, jet ski dan menaiki bot. Persekitaran kawasan Tasik Pedu juga menyediakan satu suasana yang menceriakan bagi pencinta hidupan liar. Di sini juga terdapat beberapa tempat penginapan yang menawarkan pakej kembali ke alam semulajadi, mengelilingi hutan tropika, flora dan fauna. Para pelawat juga boleh mencari dan melihat sendiri bagaimana lebah hutan gergasi mengumpul madu.Dalam perjalanan ke Tasik Pedu, anda akan melalui beberapa pekan-pekan kecil, pemandangan yang cukup indah dengan kehijauan hutan hujan tropika.

Tempat PenginapanHoliday Inn Resort Tasik PeduK.B. No. 1, Pejabat Pos Kuala Nerang06300 Kedah, MalaysiaTel : 04-7304888Faks : 04-7304888

Bagaimana hendak ke sanaDari Alor Setar terus menuju ke Timur melalui bandar-bandar Langgar, Pokok Sena dan Kuala Nerang, seterusnya terdapat papan tanda yang mengarahkan anda ke tempat yang dituju. Masa perjalanan adalah lebih kurang 1 ½ jam dari Alor Setar. Jika anda dari Pulau Pinang dan Selatan, anda boleh mengambil persimpangan Gurun di Lebuhraya Utara-Selatan dan terus ke Jeniang, Sik, Gulau dan Gubir untuk sampai ke Desa Utara yang memakan masa lebih kurang 2 jam.

Hutan Rekreasi Bukit Hijau
Bukit Hijau merupakan satu lagi destinasi eko-pelancongan yang menarik. Terletak 54 km dari Kulim, ia menjadi kebangaan tempat simpanan hutan hujan tropika yang tertua di dunia. Ia juga dianugerahi dengan sebuah air terjun unik 7-tingkat, hanya satu-satunya yang terdapat dalam dunia dengan mengalirkan air yang jernih, dingin lagi menyegarkan. Antara aktiviti-aktiviti yang terdapat di sini termasuklah renang, perkhemahan dan menikmati keindahan flora dan fauna bagi pencinta alam. Trek sejauh 9.3 km disediakan bagi mereka yang ingin mendaki Gunung Inas setinggi 145 meter melalui hutan dara yang tebal. Para pelawat boleh memilih untuk tinggal samada di calet atau khemah.

Untuk maklumat lanjut sila hubungiPejabat Hutan Daerah Kedah Selatan, KulimTel : 04-4903760

Gunung Keriang
Gunung Keriang, yang terletak di daerah Alor Setar akan menjadi sebuah kawasan pelancongan yang besar dan menarik apabila siapnya projek pembangunan berjuta ringgit yang di jalankan oleh sebuah syarikat swasta. Projek tersebut akan mengambil kira penubuhan Muzium Padi bagi menerangkan aktiviti penanaman padi di Kedah, yang lebih dikenali sebagai 'Jelapang Padi Malaysia' dan juga menjalankan penyelidikan ke atas tanaman padi. Aktiviti kebudayaan seperti permainan kampung tradisi, membuat dan bermain layang-layang, permainan gasing serta aktiviti ketika padi dituai juga akan dipromosikan.

Pantai Merdeka
Pantai Merdeka merupakan satu-satunya pantai percutian yang terletak di tanah besar Negeri Kedah. Ia terletak di Daerah Kuala Muda, 60 km ke selatan Alor Setar. Ia terkenal sebagai pantai percutian dan perkelahan bagi penduduk tempatan dan negeri-negeri berdekatan seperti Pulau Pinang dan Perak Utara. Kemudahan-kemudahan yang terdapat di sini termasuklah calet, rumah rehat, tempat perkhemahan, kolam renang dan tempat-tempat makan.
Berhampiran dengan pantai tersebut terdapat perkampungan nelayan seperti Tanjung Dawai, Telok Nipah dan Kampung Pulau Sayak yang juga menjadi tempat tarikan pelancong terutamanya pada hujung minggu. Selain daripada itu, terdapat satu lagi daya tarikan bagi para pelancong berhampiran dengan pantai tersebut iaitu muzium Arkeologi Lembah Bujang.

Program Rumah Perkampungan
Program masyarakat ini merupakan satu pendekatan baru dalam perkembangan industri pelancongan bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelancong tempatan yang ingin bercuti sambil menikmati suasana dan persekitaran semulajadi, seperti menikmati suasana kehidupan kampung, terlibat dengan aktiviti perladangan serta cara-cara membuat kraftangan.Kampung Raga telah dipilih bagi perlaksanaan program ini. Ia terletak 1.5 km dari bandar Yan dan 20 km dari pusat industri berat Gurun. Kampung ini yang meliputi kawasan seluas 600 hektar terletak di antara beberapa dusun buah-buahan, terdiri daripada kira-kira 140 buah rumah kampung. Bersebelahan dengan kampung ini, mengalir sebuah sungai yang begitu jernih dan dingin yang datang dari Gunung Jerai. Pilihan Kampung Raga sebagai Program Rumah Perkampungan merupakan satu pilihan yang tepat kerana keadaan kawasannya serta suasana yang aman damai, jauh dari kesibukan suasana di bandar, dengan udaranya yang nyaman ditambah kedudukannya yang berhampiran dengan Gunung Jerai, Lata Batu Hampar, hutan simpanan, Muzium Arkeologi Lembah Bujang, pulau-pulau seperti Pulau Bidan, Pulau Telor, Pulau Songsong, Pulau Bunting dan taman marin di Pulau Payar.Kampung ini juga terkenal dengan dusun-dusun buah-buahan yang enak dan lazat seperti durian, manggis, nangka dan rambutan. Selain daripada menyajikan para pelancong dengan suasana perkampungan, makanan dan buah-buahan tempatan, program tersebut juga mengajak para pelancong menikmati kehalusan seni kraftangan dan tradisi tempatan serta cara-cara membuat kuih-muih tempatan. Pelancong juga akan dipersembahkan dengan tarian tempatan serta pertunjukan seni pertahanan diri seperti silat.

Taman Rekreasi Puncak Janing
Ia merupakan sebuah air terjun yang indah yang terletak kira-kira 25 kilometer ke timur laut Alor Setar di daerah Padang Terap. Ia sangat terkenal bagi mereka yang sukakan bunyi air deras yang menderam 10 meter ke bawah terus ke muara sungai.

Hutan Rekreasi Bukit Wang, Kubang Pasu
Taman Rekreasi Bukit Wang seluasnya 867 hektar terletak di daerah Kubang Pasu lebih kurang 12 km dari Jitra. Ia dikelilingi oleh hutan tropika yang penuh dengan keindahan flora dan fauna dengan suasana semulajadi yang menyegarkan. Terdapat juga beberapa kemudahan seperti tempat rehat, jambatan, tandas awam, dewan rakyat, calet, bilik sembahyang dan lain-lain lagi.

Pusat Rekreasi Tasik Pedu, Padang Terap
Terletak kira-kira 90 km dari Alor Setar dan 1 ½ jam memandu, pusat ini menjanjikan pakej percutian kembali ke alam semulajadi. Para pelancong berpeluang menikmati suasana alam semulajadi, flora dan fauna, serta menyaksikan bagaimana lebah hutan gergasi mengumpul madu. Bagi mereka yang gemar melihat haiwan, ia juga terkenal sebagai tempat melihat burung-burung tempatan. Aktiviti-aktiviti lain termasuk juga jet-ski, berakit, berenang dan memancing.

Hutan Rekreasi Seri Perigi, Yan
Taman rekreasi ini dibangunkan oleh Pejabat Daerah Yan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan. Ia terletak lebih kurang 3.2 km dari sungai Yan dan terkenal sebagai tempat perkelahan kerana terdapat sebuah air terjun. Sungai yang mengalir dalam taman ini datangnya dari Gunung Jerai.

Hutan Rekreasi Batu Hampar, Yan
Taman rekreasi yang terletak 32 km dari Alor Setar ini telah dibuka pada tahun 1980.Ia menjadi tempat tumpuan pada hujung minggu untuk berehat dan amat terkenal dengan air terjunnya yang mengalir tidak putus-putus sepanjang tahun.

Hutan Rekreasi Sik, Sik
Hutan rekreasi ini terletak dalam daerah Sik, 72 km dari Alor Setar dan dikelilingi oleh bukit-bukau yang menghijau. Ia memberikan satu suasana tenang, aman dan sunyi, amat sesuai bagi mereka yang ingin bebas dari kesibukan kerja-kerja harian. Ia juga amat sesuai bagi tujuan mendaki bukit dan perkhemahan dalam keindahan alam semula jadi.

Lata Bukit Hijau, Baling
Bukit Hijau merupakan sebahagian daripada banjaran Gunung Inas yang terletak di Daerah Baling. Ia menjadi lambang kebanggaan kerana dikatakan memiliki hutan hujan tropika yang tertua di dunia. Kawasan ini dianugerahi sebuah lata 7-tingkat unik yang tiada tandingnya dengan mana-mana lata di dunia ditambah dengan aliran air yang sejuk lagi menyegarkan. Suasana sejuk yang nyaman ini telah menjadikan Bukit Hijau sebagai tempat istirehat dan berkelah yang sempurna terutama sekali di sepanjang tebing Sungai Mempelam. Aktiviti-aktiviti popular di bukit tersebut termasuklah aktiviti trek dalam hutan, dan mendaki Gunung Inas setinggi 1,454 meter melalui hutan dara yang tebal, berenang, berkhemah dan menikmati keindahan flora dan fauna. Tempat tinggal juga disediakan.

Gunung Raya, Langkawi
Terletak 12 km dari Kuah, Gunung Raya berdiri megah dengan ketinggian 893 meter, merupakan puncak tertinggi di Langkawi. Ia menjadi idaman para pecinta alam semula jadi kerana kekayaan alam flora dan fauna. Walaupun tempat ini tidak begitu dikenali oleh para pelancong, namun ia tetap digemari bagi tujuan aktiviti luaran seperti kembara dan berkhemah. Di sini juga terdapat jalan tanah merah menuju ke puncak gunung bagi mereka yang tidak berminat kepada aktiviti trek. Pemanduan akan mengambil masa lebih kurang 40 minit. Puncak Gunung Raya menyediakan satu pemandangan yang indah bagi Pulau Langkawi. Di bahagian timurnya pula kelihatan pulau-pulau di selatan Thailand manakala di bahagian baratnya kelihatan pelabuhan Kuah dan Gunung Mat Cincang.

Lata Telaga Tujuh, Langkawi
Telaga Tujuh terletak di kaki Gunung Mat Cincang lebih kurang 23 km dari Kuah sebelah timur laut Pulau Langkawi. Ketujuh-tujuh telaga terletak bersebelahan antara satu sama lain seolah-olah disusun secara rapi berperingkat yang mana perigi tertinggi sekali adalah setinggi 91 meter. Air yang mengalir ke dalam perigi tersebut amat deras, berpunca dari gunung di atasnya. Ia bermula dari perigi pertama, kemudian masuk ke perigi kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam hinggalah seterusnya ke perigi yang ke tujuh.Lagenda mengatakan bahawa tempat tersebut menjadi kegemaran pari-pari gunung yang suka bermandi-manda di tempat tersebut kerana jauh dari kehidupan manusia. Kewujudan pari-pari ini sering meninggalkan kesan bau-bauan yang harum di persekitaran lata tersebut. Ada yang mengatakan dalam beberapa keadaan mereka telah meninggalkan ramuan-ramuan yang mereka gunakan untuk membasuh rambut mereka. Walaubagaimanapun, sesiapa yang ingin ke tempat tersebut perlu mendapatkan bantuan seorang penunjuk jalan dan mesti sanggup berjalan melalui hutan tebal yang menyejukkan.


0 comments: